Setelah beberapa hari Nabi Ibrahim mengajar umatnya tentang syariat, tarikat, hakikat dan makrifat serta memberi orang makan hatta maka pada suatu malam Nabi Ibrahim pun bermimpi di mana di dalam mimpinya suatu suara didengarnya katanya, ‘bangunlah engkau Hai Ibrahim maka korbankan olehmu’.
Maka Nabi Ibrahim pun bangun daripada tidurnya lalu memberi korban dua ratus ekor unta diberikannya akan segala fakir miskin. Setelah itu maka pada malamnya itu bermimpi pula ia di dalam mimpi itu, ‘Hai Ibrahim, korbanlah engkau’. Setelah jaga Nabi Ibrahim daripada tidur maka pada pagi-pagi hari dikorbankannya dua ratus ekor unta dibahagikan kepada segala fakir miskin. Pada malam itu bermimpi lagi Nabi Allah Ibrahim, ‘Hai Ibrahim, korbanlah engkau’.
Maka terjaga Nabi Ibrahim daripada tidurnya lalu terduduk dan fikir di dalam hatinya tiga malamlah sudah aku bermimpi demikian jua. Apa gerangan takwilnya. Maka pada pagi-pagi harinya dikorbankan Nabi Ibrahim pula dua ratus ekor unta dan memberi makan segala manusia terlalu banyak.
Setelah sudah Nabi Allah fikir demikian itu maka di dengar suatu suara, ‘Hai Ibrahim, korbanlah olehmu anakmu Ismail bahawasanya mimpi sebenarnya daripada Tuhan Seru Sekelian Alam’. Setelah didengar Nabi Allah Ibrahim suara itu maka iapun terkejut di dalam hatinya. Sebenarnyakah ini firman TuhanKu kepada aku. Maka kata Nabi Allah Ibrahim, “Ya TuhanKu, Engkau jua yang mengetahui didalam hati hambamu. Maka didengar Nabi Allah Ibrahim a.s. bunyi suara di udara demikian bunyinya. “Hai Ibrahim, tiada dapat syaitan menyesatkan dikau bahawasanya titah Tuhanmu kepadamu jua dengan sebenarnya menyuruhkan engkau mengkorbankan anakmu Ismail itu”.
Setelah itu maka pada ke empat malamnya bermimpi pula Nabi Ibrahim seperti mimpi itu jua maka terkejutlah ia daripada tidurnya serta ia fikir di dalam hatinya apa ini syaitankah atau rahmatkah yang datang kepadaku ini. Maka Nabi Allah Ibrahim a.s. pun minta izin kepada Siti Sara hendak mendapatkan anaknya Ismail. Maka kata Siti Sara, pergilah tuan hamba. Hatta maka Nabi Ibrahim pun naik ke atas untanya lalu berjalan mendapatkan anaknya Ismail serta dibawanya sebilah pisau dan suatu tali. Setelah sampai kepada bondanya Ismail maka kata Nabi Allah, Hai Hajar, hiasilah olehmu anakmu Ismail ini dengan pakaian yang baik bahawa hendak ku bawa panggilan ke rumah jamu. Maka dihiasi oleh bondanya akan Ismail dan dicelakkannya kedua matanya dan disisirinya rambut. Setelah sudah maka disuruhnya pergi kepada bapanya. Dilihat Siti Hajar Nabi Allah Ibrahim maka katanya tuan hamba hendak pergi panggilan orang tetapi apa gunanya pula tuan hamba bawa pisau dan tali itu? Maka sahut Nabi Allah Ibrahim, siapa tahu jika kami beroleh daging atau beroleh kayu api kami ikatkan kerana itulah maka membawa pisau dan tali ini. Hatta maka Nabi Ibrahim pun hampir kepada anaknya Ismail lalu dijabatnya tangan anaknya di bawa berjalan. Apabila Siti Hajar melihat Nabi Ibrahim berjalan dua beranak itu lalu titik air matanya di dalam hatinya bahawa baru inilah pula Nabi Allah Ibrahim ingin berjalan membawa anaknya.
Hatta setelah jauhlah Nabi Allah Ibrahim keduanya itu maka iblis laknatullah pun datang kepada Siti Hajar maka ujarnya, hai Hajar kemana pergi anakmu itu? Maka sahut Siti Hajar, anakku dibawa bapanya pergi panggilan. Maka kata iblis, tiada anakmu itu pergi panggilan tetapi anakmu itu hendak dibunuh bapanya. Maka ujar Siti Hajar, adakah bapanya hendak membunuh anaknya? Maka kata iblis bahawasanya telah Firman Allah Taa’la menyuruh korbankan anaknya Ismail itu maka ujar Siti Hajar jika sudah dengan firman Allah Taa’la siapa dapat melalui Dia. Maka beredarlah iblis daripada Siti Hajar. Tiadalah lulus daya upayanya lagi maka datang pula iblis kepada Ismail a.s. maka ujarnya, Hai Ismail, ke mana tuan hamba pergi itu? Maka sahut Ismail bahawa hamba hendak pergi ke rumah jamu. Kata iblis tiada engkau di bawa bapamu panggilan bahawa engkau hendak dibunuhnya jua. Maka sahut Ismail dusta engkau ini tiada pernah bapa hendak membunuh anaknya. Maka kata iblis telah Firman Allah Taa’la kepada bapamu akan membunuh engkau. Redhakah engkau mati? Maka kata Ismail a.s. jika dengan firman Tuhanku redhalah aku menjunjung titah Tuhanku Yang Maha Mulia Lagi Yang Amat Tinggi.
Maka berkata Ismail kepada bapanya Ibrahim. ‘Hai bapaku, ke mana bapa bawa ini?’. Maka sahut Nabi Ibrahim a.s. seperti firman Allah Taa’la, kata Ibrahim, Hai anakku, bahawasanya ku lihat di dalam mimpiku bahawa disuruhkan Allah Taa’la akan menyembelih dikau maka lihatlah olehmu pada dirimu apa fikirmu sekarang. Maka kata Ismail a.s. seperti firman Allah Taa’la. Kata Ismail akan bapanya, Hai bapaku, segeralah kau kerjakan seperti yang disuruhkan Allah Taa’la kepada tuan hamba itu lagi tuan hamba akan peroleh daripada orang yang sabar, Insya Allahi Taa’la pada yang demikian itu bahawa mimpimu itu sebenarnyalah daripada Tuhanmu. Mengapa pula tuan hamba sebutkan di dalam tidur tuan hamba kerana tuan hamba nabi Allah tiada akan dapat iblis berbuat dusta kepada tuan hamba. Hai bapaku, itulah iblis hendak menyesatkan tuan hamba supaya tergendala kerja yang dititahkan Allah Taa’la kepada tuan hamba itu maka kata Ibrahim, Hai anakku, ambil olehmu batu maka lontarkan olehmu akan dia (iblis) maka keduanya Nabi Allah itu pun melontarkan batu kepada iblis seorang tiga kali dengan tiga buah batu dilontarkan keduanya. Dari kerana itulah datang sekarang orang naik haji melontar tiga buah batu pada Bukit Mina kerana mengikut sunat Nabi Allah keduanya.
Hatta maka berjalanlah kedua Nabi Allah itu dari Mina. Nabi Allah Ibrahim pun menilik kepada muka anaknya Ismail maka dilihatnya terlalu amat baik rupanya lagi amat bercahaya antara kedua keningnya hingga lalu kepada mukanya dan adalah umur Ismail pada ketika itu baharu tiga belas tahun. Maka kata Ibrahim didalam hatinya jika tiadaku beranak nescaya tiada datang Firman Allah Taa’la kepada aku menyuruhkan membunuh anakku. Didalam itu pun bahawa cinta Nabi Allah Ibrahim a.s. tiada jua berubah daripada kerja kebaktian mengikut suruh Allah Taa’la itu. Setelah sampailah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s. ke bukit Mina itu (sekarang pun segala orang yang naik haji menyembelih korban pada tempat itulah) maka ujar Ismail, Hai bapa hamba, telah hamba serahkanlah kepada Allah Taa’la dan segeralah kerjakan oleh tuan hamba seperti firman Allah Taa’la itu dan lagi akan tuan hamba peroleh akan daku sabar daripada yang demikian itu supaya dimatikan oleh Allah Taa’la akan hamba suatu kaum yang sabar. Setelah itu maka tahulah Nabi Allah Ibrahim akan Nabi Ismail telah menyerahkan dirinya kepada Allah Taa’la maka kata Nabi Ibrahim, Hai anakku, telah kuserahkanlah engkau kepada Allah Taa’la seperti firman Allah Taa’la. Dikeluarkan Nabi Ibrahim tali dari dalam tangan bajunya hendak diikat akan anaknya Ismail itu.
Maka segala malaikat isi ke tujuh langit pun haru-haralah melihat Nabi Ibrahim akan membunuh anaknya Ismail itu maka firman Allah Taa’la, Hai segala malaikatKu, bukakan olehmu segala pintu langit itu maka lihatlah oleh kamu sekelian bahawa kekasihKu Ibrahim membunuh anaknya yang dikasihinya kerana menurut firmanKu. Maka berseru-serulah segala malaikat ke hadrat Allah Taa’la, Ya Ilahi, Ya Robbi, apa hikmatMu dan apa hukumMu atas hambaMu Ibrahim yang demikian itu maka firman Allah Taa’la, lihatlah oleh kamu sekelian apa kelakuan kedua nabi itu pada mengikut firmanKu. Tiadakah kamu lihat bahawasanya telah dibakar seteruKu namrud akan Ibrahim ke dalam api maka Ku perlihara akan dia daripada kejahatan seteruKu. Maka sekarang pun Ku cuba akan dia dan akan anaknya adakah ia mengikut firmanKu atau tiadakah. Maka inilah jawab yang amat nyata maka segala yang berbuat kebajikan kepada Aku.
Maka tatkala dilihat Ismail bapanya mengeluarkan tali dari dalam tangan bajunya hendak mengikat dia maka katanya Hai bapaku, betapa firman Tuhan Yang Maha Tinggi menyuruhkan bapa menyembelih hamba? Maka sahut Ibrahim yang ku mimpi itu tiga malam berturut-turut maka ku korbankanlah pada tiap-tiap pagi itu dua ratus ekor unta maka ke empat malamnya bermimpi pula aku demikian juga. Terlalu terkejutlah aku daripada tidurku maka ku dengar suatu suara demikian bunyinya, Hai Ibrahim bahawa disuruhkan Tuhanmu menyembelih anakmu Ismail. Itulah maka datang aku kepadamu. Setelah didengar Ismail kata Nabi Ibrahim demikian itu maka ia pun sujud kepada Allah Taa’la maka kata Ibrahim a.s. mengapa engkau sujud hai anakku Ismail? Bahawa pada sangka nabi Ibrahim memohon sesuatu kepada Tuhannya katanya, Hai anakku, engkaulah Ismail menurut titah Allah s.w.t. maka Ismail pun berbangkit daripada sujudnya maka katanya sujud syukurlah hamba kepada Allah Taa’la oleh mendengar firmanNya Yang Maha Mulia itu. Ya Tuhanku, telah ku junjunglah firmanMu maka diikat nabi Ibrahimlah kaki tangan anaknya seperti adat mengerjakan kerbau maka lalu dibaringkannya akan Ismail ke bumi pada lembungan kanan.
Setelah itu nabi Ibrahim menyingsing tangan bajunya lalu ia menghunus pisau daripada pinggangnya maka Ismail menyerling kepada bapanya dengan ikar matanya maka katanya Hai bapaku, berhentikan seketika hamba hendak berpesan pada ibu hamba supaya segera hamba mati dan kaki tangan hamba pun hendaklah diperteguhkan baik-baik dan muka hamba pun hendaklah ditutup dengan kain. Siapa tahu bapa menilik pada muka hamba kalau bercinta-cinta sayang bapa akan hamba nescaya jadi akan berlalu firman Allah Taa’la dan tatkala hendak menyembelih hamba, hadapkanlah muka hamba pada pihak qiblat dan nama Allah Taa’la itu berbanyak-banyak sebut oleh bapa hamba supaya nyawa hamba segera berlaku ke Rahmatullahi Taa’la. Katakan sembah hamba pada ibu hamba dan kain darah hamba ini berikan kepada ibu hamba jangan ia bercintakan hamba dan suruh ia minta doa kepada Allah Taa’la kerana yang hidup itu pasti akan merasai mati jua kesudahannya. Insya Allah Taa’la di akhiratlah hamba menjunjung kaki ibu hamba jika sekiranya hamba ketahui firman Allah demikian ini nescaya hamba junjunglah kaki bonda hamba tetapi di akhirat pun lagi bertemu jua.
Hai bapaku, perbaiki kiranya hati bonda hamba jangan diberi ia bercinta. Katakan padanya dunia ini tiada akan kekal bahawa akhirat jua negeri yang baka tiada berkesudahan adanya. Setelah di dengar Ibrahim a.s. pesan anaknya maka cucurlah airmatanya dan terlalailah ia seketika maka pisau yang pada tangannya itupun jatuh ke bumi dan segala malaikat di langit pun berseru-seru kepada Allah Taa’la sembahnya, Ya Tuhanku, betapalah hal kekasihMu itu Kau beri binasa hatinya. Engkau jua Tuhan Yang Amat Tahu akan segala sesuatu hatta maka di ambil Ibrahim akan pisaunya ke bumi akan menyembelih anaknya itu maka firman Allah Taa’la, Hai Jibrail, segeralah engkau turun mendapatkan hambaKu Ibrahim itu maka sayapmu itu sapukan pada pisau itu supaya tumpul. Maka Jibrail pun segera turun maka disapukannya dengan sayapnya pada pisau Ibrahim hatta maka disembelihlah Nabi Ibrahim akan anaknya Ismail itu maka sedikit pun tiada luka maka ujar Ismail a.s. Ya nabi Allah, tiarapkan muka hamba ke bumi maka sembelihlah oleh tuan hamba tengkok hamba kerana tuan hamba memandang muka hamba sebab itulah maka jadilah dengan tangan tuan hamba dan janganlah bapa sayang lagi akan hamba kalau jadi derhaka pula bapa kepada Allah Taa’la maka Nabi Ibrahim pun menangis mendengar kata Nabi Ismail itu maka ujar Ibrahim, hai anakku dan kekasihku, tiadalah datang hatiku akan meniarapkan mukamu ke bumi bahawa yang kehendak Ismail jika aku mati dalam keadaan tertiarap ini di dalam sujudku jua kepada Allah Taa’la. Maka ujar Ismail, Ya TuhanKu, apakah dosanya hambamu maka Kau perliatkan mati ini maka kata Ibrahim kepada pisau, tajamkan dirimu pada memakan anakku Ismail dan lakukanlah olehmu firman Allah Taa’la itu maka disembelih Nabi Ibrahim pula akan anaknya itu sekali lagi serta dipotongnya dengan sekuat-kuat hatinya. Itupun tiada juga luka, ku lihat Ismail maka lalu diparangkan Ibrahim kepada batu maka batu itu pun belah dua lalu terpancar air dari dalam batu maka nabi Ibrahim pun minta doa kepada Allah Taa’la memohonkan pisau itu berkata-kata dengan dia maka di tanyai oleh Ibrahim akan pisau itu ujarnya, Hai sakin (pisau), mengapa maka tiada mahu engkau makan anakku Ismail itu kerana itulah ku parangkan engkau kepada batu maka sahut pisau, Ya nabi Allah, tiada firman Allah Taa’la kepada hamba akan melukai anak tuan hamba Ismail itu maka betapa dapat hamba memakan dia adapun tatkala tuan hamba dibuangkan oleh namrud kepada api maka berfirman Tuhan kepada api itu “Kulnaa YaaNaaru Kuunii Bardan Wasalaaman Aa’laa Ibrahim”.
Demikian lagi firman Allah Taa’la kepada aku jika ku luruhkan sehelai roma Ismail nescaya Ku masukkan engkau ke dalam neraka maka Nabi Allah pun hairan mendengar kata pisau itu hatta seketika lagi didengar Nabi Ibrahim bunyi suara dari atas bukit itu demikian bunyinya “Allahu Akbar, Allahu Akbar” maka dilihat Nabi Ibrahim ke atas bukit bahawa Jibrail yang datang itu serta mengucap takbir seperti firman Allah Taa’la. Maka datang Jibrail menghampiri kepada Nabi Ibrahim ujarnya telah benarlah mimpimu itu Ibrahim dan telah hamba sampaikanlah titah Allah Taa’la yang disuruhnya tuan hamba mengerjakan dia itu. Inilah jua yang amat nyata daripada Tuhanmu ya Nabi Allah. Inilah kambing di dalam syurga kurnia Allah Taa’la akan tuan hamba ganti anak tuan hamba Ismail itu maka uraikanlah ikat Ismail itu diikatkan pada kambing ini. Adapun rupa kambing itu hitam bercampur putih warnanya. Tanduknya manikam yang merah dan kukunya daripada zabarjad yang kuning dan giginya daripada zamrud yang hijau tingginya tiga hesta.
Setelah didengar Ibrahim kata Jibrail demikian itu maka iapun sujud kepada Allah Taa’la sembahnya, Ya Tuhanku jua yang sebaik-baik Tuhan dan sebaik-baik yang menganugerahi akan hambanya maka syukurlah hambaMu pada menjunjung kurniaMu. Setelah itu maka Jibrail pun menyuraikan ikat Ismail maka Nabi Ibrahim pun bangkit daripada sujudnya lalu ia pergi mendapatkan Jibrail maka kata Jibrail, Ya Nabi Allah, lepaslah kambing ini bahawa inilah jenis kambing makanan segala isi syurga maka Nabi Ismail pun sujudlah pada kaki ayahnya Nabi Ibrahim a.s. maka didakap dan dicium Nabi Ibrahim akan anaknya Nabi Ismail a.s.. Maka dapatlah oleh Ibrahim akan kambing itu setelah sudah maka mengucap takbirlah keduanya itu lalu disembelihnya dan dilapah keduanya maka kata Jibrail, Ya Nabi Allah, kulit kambing itu jadikan alas makan makanan maka atasnyalah makan dan bulu kambing itu tuan hamba jadikan kain selimut. Barangkala haribulan baik maka pakai oleh tuan hamba. Setelah sudah tuan hamba pakai maka taruhkan pada Tabut Sakinah. Adapun “tabut sakinah” itu seperti suatu khazanah orang mati maka didalam itulah ditaruh segala benda yang mulia dan segala pakaian yang dahulukala maka adalah pada zaman nabi kita Muhammad s.a.w. dibawa Jibrail “kain halyam” daripada kulit kambing itu kepada Nabi Muhammad maka diberikan nabi Allah kepada bonda Omar maka tatkala mati Omar disuruhnya taruhkan sertanya kain itu ke dalam kubur bumi.
Wallahualam
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !